Wednesday, 7 December 2011

PERANAN TEKNOLOGI KEPADA MATEMATIK

        Keberkesanan penggunaan teknologi dalam sebuah bilik darjah matematik bergantung kepada seseorang guru. Teknologi bukanlah satu penawar mujarab kepada masalah-masalah dalam proses pengajaran pembelajaran matematik. Seperti mana-mana alat bantu mengajar yang lain, teknologi boleh digunakan sama ada secara optimum ataupun dengan serba kekurangan. Guru patut menggunakan teknologi untuk mempertingkatkan lagi peluang pembelajaran murid-murid dengan memilih atau membina tugasan-tugasan matematik yang bernas serta yang dapat mengambil kesempatan untuk mengeksploitkan apa yang dapat suatu teknologi itu buat dengan berkesan seperti dalam melukis graf, membuat visualisasi dan menjalan komputasi. Sebagai contohnya, guru boleh menggunakan simulasi untuk memberi murid-muridnya suatu pengalaman situasi masalah yang sukar direkacipta tanpa teknologi. Ataupun guru boleh menggunakan sumber data dan sumber maklumat dari internet dan “World Wide Web” untuk merekabentuk tugasan-tugasan matematik bernas bagi murid-murid. Hamparan elektronik, perisian geometri dinamik dan mikrodunia komputer merupakan alat-alat teknologi yang berguna untuk mengemukakan masalah-masalah matematikal yang bernas.
                    Teknologi tidak akan menggantikan seseorang guru matematik. Pada amnya, apabila murid-murid menggunakan alat-alat teknologi dalam aktiviti matematik, mereka biasanya nampak lebih meluangkan banyak masa bekerja dan mencari penyelesaian bagi masalah matematik sehingga menwujudkan satu keadaan di mana peranan guru nampaknya tidak penting lagi. Tetapi gambaran ini adalah tidak tepat dan mudah disalahfahamkan. Seorang guru matematik sebenarnya memainkan banyak peranan penting di dalam sebuah bilik darjah yang kaya dengan teknologi - membuat keputusan yang akan membawa kesan yang penting kepada pembelajaran murid-muridnya. Pada peringkat awalnya, gurulah yang mesti mempertimbangkan dan membuat keputusan tentang bilakah dan bagaimanakah teknologi akan digunakan di dalam bilik darjah. Sambil murid-murid menggunakan teknologi seperti kalkulator ataupun komputer dalam bilik darjah, guru pula dapat menggunakan peluang ini bukan sahaja untuk memantau dan mencerap murid-murid tetapi juga untuk memokus kepada pemikiran dan penaaklulan murid-murid. Tambahan pula, sambil murid-murid bekerja dengan teknologi, murid-murid dapat mempamerkan pelbagai pemikiran dan penaakulan matematikal  mereka, yang pada amnya susah dicerap oleh guru tanpa bantuan teknologi. Maka teknologi dapat membantu dalam pentaksiran, memberi peluang untuk guru mengkaji serta memeriksa proses yang telah digunakan oleh murid-murid dalam penyiasatan matematik mereka dan hasil penyiasatan masing-masing. Justerunya, dengan teknologi, maklumat yang berlimpah banyak sedia ada bagi guru untuk membuat refleksi dan membuat keputusan memilih tindakan susulan bagi pengajaran matematiknya.

No comments:

Post a Comment