Wednesday, 7 December 2011

BERITA MATEMATIK

PUTRAJAYA 17 Nov. - Peratusan calon mendapat gred A bagi mata pelajaran Matematik menurun 36.9 peratus berbanding 37.2 peratus tahun lalu iaitu penurunan sebanyak 0.3 peratus.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud berkata, peratusan calon yang mendapat gred ABC bagaimanapun meningkat 0.9 peratus.
''Pada keseluruhannya, prestasi Matematik meningkat dengan nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) sebanyak 0.01 iaitu 2.26 tahun ini berbanding 3.37 tahun lepas," katanya kepada pemberita semasa pengumuman keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sini, hari ini.
GPMP adalah indeks yang digunakan untuk menunjukkan prestasi mata pelajaran iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik.
Bagaimanapun, prestasi keseluruhan mata pelajaran Sains menurun dengan GPMP sebanyak 0.03 berbanding 2010 apabila peratus calon yang mendapat gred A dan gred ABC juga menurun, masing-masing sebanyak 2.0 peratus dan 0.8 peratus.
Analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu - Pemahaman di Sekolah Kebangsaan (SK) pula menyaksikan peningkatan pada gred A iaitu sebanyak 1.9 peratus.
Peratusan calon yang melepasi tahap penguasaan minimum gred ABC pula meningkat sebanyak 1.1 peratus walaupun prestasi Bahasa Melayu - Penulisan di SK bagi gred A menurun 0.6 peratus manakala prestasi bagi gred ABC meningkat sebanyak 2.9 peratus.
''Prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil bagi gred A meningkat masing-masing sebanyak 1.3 peratus dan 1.9 peratus," katanya.
Abd. Ghafar memberitahu, prestasi dan gred purata Bahasa Inggeris di SK adalah stabil dengan nilai GPMP sama seperti tahun lalu iaitu 2.74 walaupun mencatat peratusan calon mendapat gred A menurun 0.5 peratus tetapi peratusan calon mendapat gred ABC meningkat 0.4 peratus.
Secara keseluruhan prestasi Bahasa Inggeris SJK mencatat penurunan dalam GPMP 0.05 iaitu daripada 2.69 tahun lalu kepada 2.74 tahun ini, sekali gus mencatat peratusan calon mendapat gred A dan ABC juga menurun masing-masing sebanyak 1.2 peratus dan 1.4 peratus.
Peratus calon mendapat gred A dan ABC bagi Bahasa Cina Pemahaman pula meningkat dari dengan nilai GPMP 0.08 tetapi prestasi Bahasa Cina Penulisan telah menurun dengan nilai GPMP 0.06 berbanding tahun lalu.
Prestasi mata pelajaran Bahasa Tamil Pemahaman dan Penulisan bagaimanapun menunjukkan peningkatan bagi gred A iaitu 3.39 peartus dan 0.7 peratus manakala gred ABC pula masing-masing 3.0 peratus dan 0.8 peratus.
Dalam pada itu, Abd. Ghafar berkata, tahun ini merupakan tahun ketiga Ujian Aptitud diduduki semua murid tahun enam di mana prestasi dalam ujian itu dapat memberi gambaran kebolehan dan kesediaan mental mereka sebelum memasuki sekolah menengah.
Ujian itu berdasarkan dua kemahiran iaitu berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan dan ia dinilai dalam bentuk Band 1 (terendah) hingga Band 4 (tertinggi).
Minat dan kecenderungan murid terhadap bidang akademik, teknik dan vokasional, seni, budaya dan sosial atau sukan turut dilaporkan.
''Keputusan ujian ini tidak dinyatakan dalam slip keputusan UPSR tetapi boleh diperoleh melalui sekolah. Ibu bapa digalakkan untuk mendapatkan maklumat itu bagi mengetahui minat, potensi dan kecenderungan anak masing-masing," katanya.
Beliau berkata, usaha kementerian seperti menerusi Program Peningkatan Sekolah yang digerakkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kesan terhadap pencapaian murid.
''Kita menggerakkan keseluruhannya dari sudut nazir, dari segi pihak guru cemerlang untuk membantu sekolah-sekolah luar bandar. Jadi nampak pada saya hasilnya jurang antara sekolah bandar dan luar bandar dapat dirapatkan," katanya.

No comments:

Post a Comment