Tuesday, 6 December 2011

PEMBINAAN DAN PERKEMBANGAN PENGETAHUAN MATEMATIK DALAM MINDA PELAJAR

Semenjak kebelakangan ini, hasil-hasil kajian tentang proses pembelajaran matematik telah menunjukkan bahawa pengetahuan matematik adalah dibina dan dikembangkan dalam minda seseorang individu itu oleh dirinya sendiri.
Mengikut Piaget (dalam Souviney, 1989), semua pengetahuan baru boleh difahami hanya apabila dikaitkan dengan yang sedia ada. Beribu-ribu pengurusan struktur atau skema dikembangkan di sepanjang hayat seseorang. Melalui proses interaktif asimilasi dan akomodasi, individu-individu berusaha mencapai keseimbangan yang bersepadu dan mengalami peringkat-peringkat perkembangan itu. Seseorang individu dikatakan akan mengasimilasikan apa yang baru diketahui dengan apa yang sudah diketahui, untuk mencapai pemahaman. Pengalaman lama akan berubah secara beransur-ansur, atau yang dikenali sebagai akomodasi, disebabkan oleh pengalaman baru ini.
Ahli psikologi Rusia, Lev Vygotsky (dalam Souviney, 1989) pula mengatakan operasi mental adalah dirangsangkan melalui interaksi sosial yang aktif dengan rakan sebaya dan orang dewasa yang lebih berterampilan. Operasi-operasi ini akan diserap ke dalam minda seseorang dan menukar menjadi sesuatu yang diperlukannya. Beliau juga membahaskan bahawa pengajaran berkesan ialah apabila pelajar bekerjasama melibatkan diri dalam aktiviti dalam suasana yang menyokong pembelajaran dan menerima bimbingan yang berpatutan dari guru. Guru berperanan mengorganisasikan interaksi untuk membantu kanak-kanak menyelesaikan tugasan pembelajaran.
Kajian yang dijalankan ke atas kanak-kanak di tadika oleh Baroody & Ginsburg (1990), menunjukkan bahawa kanak-kanak sendiri membina pengetahuan matematik yang tidak formal sebelum mereka mengikuti kelas formal di sekolah. Hasil kajian ini boleh kita lihat dalam aktiviti harian kanak-kanak yang belum mengikuti pendidikan formal. Semasa bermain, kanak-kanak dalam golongan ini selalunya bersua dengan istilah-istilah matematik seperti ‘lebih tinggi’, ‘lebih rendah’, ‘segitiga’, ‘bulat’, ‘dua’, ‘tiga’, dan sebagainya. Proses-proses pembelajaran yang tidak formal tentang pengetahuan matematik, seperti ukuran, ruang, bentuk geometri, dapat dikatakan berlaku dalam situasi sedemikian.
Dengan menggunakan istilah matematik sedemikian semasa berinteraksi dengan rakannya, matematik tidak formal dibina dalam minda kanak-kanak kerana ia berguna kepada mereka atau bermakna bagi mereka. Mengikut Baroody & Ginsburg (1990), pengetahuan matematik tidak formal ini dibina dan diperkembangkan oleh kanak-kanak kerana ia bermakna, menarik dan berguna kepada mereka, dan perasaan ingin tahu yang ada pada kanak-kanak mendesak mereka untuk menjadikan persekitaran bermakna, dan mempunyai keupayaan untuk menguruskannya.
Steffe (1990) pula mengatakan bahawa mengikut pendapat ahli konstruktivisme, pengetahuan konsep tidak dapat dipindah dari seorang kepada seorang yang lain, tetapi mesti dibina oleh setiap pelajar berasaskan sepenuhnya kepada pengalamannya.
Jadi, pembelajaran matematik berlaku apabila kanak-kanak berinteraksi dengan persekitarannya yang juga termasuk rakan sebaya dan guru. Pengalaman seseorang kanak-kanak itu yang merupakan asas kepada pembinaan pengetahuan matematik dalam minda juga berhubungkait dengan persekitarannya. Dalam proses membesar, kanak-kanak memperoleh pengalaman melalui proses berinteraksi dengan persekitarannya iaitu melakukan pemerhatian, mendengar, bercakap, menyentuh, merasa, meniru dan sebagainya.


No comments:

Post a Comment